Monday, July 18

Letakkan diri kau di tempat Sipolan dan kau akan faham.

Salam semua. Biar aku perkenalkan diri kepada semua. Aku sipolan, gadis biasa. Tiada apa yang istimewa mengenai diri aku yang aku boleh kongsikan di sini. Tiada bakat, rupa, apatah lagi harta. Hanya seorang gadis biasa yang sedang memulakan perjalanan hidup yang panjang. Gadis biasa ini juga tidak tahu apa yang berada di hadapannya, apa cabaran yang bakal dihadapinya, apa yang harus ditempuhinya dan dia hanya perlu bersedia menepis dan menghadapi apa segala yang bakal terjadi dengan penuh rela.

Namun aku sebagai gadis biasa ini punya cita-cita, punya impian, punya rasa cinta, juga punya hati dan juga perasaan. Setelah apa yang dilalui aku dalam beberapa tempoh dibelakangku serba sedikit telah banyak mengajar erti kesabaran, kepercayaan, kematangan, kehidupan, dan kekhilafan. Aku bersyukur di atas setiap kejadian dan disetiap kekhilafan, aku sentiasa dilindungi olehNya daripada terus menerus hanyut dalam liku-liku dunia sementara. Jatuh bangun aku, apa yang tersirat dihatiku, tiada siapa yang tahu. Iya, benar kata seseorang. Aku seorang yang suka memendam. Tak berdaya kusangkal kenyataan tersebut. Sungguh. Ia benar.

Disebalik senyuman gadis biasa ini, tersembunyi sekeping hati yang tertampal. Yang pernah rabak dek arus kehidupan. Yang pernah dibuang dikutip, dikutip dibuang, dipijak, disepak, malah dilontar. Maaf aku tipu kau. Masakan hati yang tertampal ini boleh diperlakukan sebegitu. Tapi anggaplah ianya sebagai perumpamaan. Namun aku tetap bangun dan terus merawat luka yang terdalam. Aku tak pernah menyesal, tak pernah serik dan takkan beralah. Takkan pernah berundur malah terus melangkah. Mencari erti hidup dan kehidupan. Ironisnya, tak semua senang hati melihat perubahan demi perubahan yang kita gapai.

Apa yang cuba aku luahkan disini bukanlah atas dasar membalas atau menunjukkan kemarahan kepada kau, tapi cuba kau letakkan diri kau ditempat gadis biasa ini. Siapa kita untuk menghukum? Setiap orang punya kekurangan tersendiri dan aku bukanlah seorang yang mendiskriminasikan di atas setiap kekurangan tersebut. Tiada yang sempurna dalam dunia ini. Dan aku punya misi aku sendiri. Ada sesuatu yang harus kubuktikan kepada semua. Terutama semua insan tersayangku. Dan untuk melakukannya ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Aku perlukan kekuatan. Jatuh bangun aku di masa hadapan semuanya sudah tertulis olehNya tapi sekurang-kurangnya aku mencuba dan berusaha untuk ke jalan kebaikan.

"Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha mengingatkan manusia" 

Jauh sekali untuk aku beralah dan menyesal dengan apa yang aku lakukan. Anggaplah semua ini salah satu cara aku menebus karma di atas segala kekhilafan aku di masa lalu. Anggaplah yang aku sedang menebus semua kesalahan aku kepada semua yang pernah membenci aku. Dengan cara ini aku boleh menarik nafas lega dalam menemukan jalan kebahagiaan. Anggaplah aku sedang mengusahakan dakwah kecil yang tak seberapa demi menggembirakan insan-insan yang wujud dalam hatiku. Percayalah, kebahagiaan aku datangnya dari kebahagiaan dan kegembiraan yang kuberikan kepada mereka.

"Orang yang pertama mendapat manfaat dari satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Jadi bila anda dukacita, carilah orang lain dan gembirakanlah mereka. Nanti hati anda juga turut gembira"

Andai ditakdirkan apa yang aku buat ini adalah sia-sia belaka, aku bersyukur dan terima dengan redha. Siapa aku untuk merungut untuk menunjukkan kekecewaan di atas setiap takdirNya? Sekurang-kurangnya aku tahu dengan siapa harus aku mengadu dan lebih mendekatkan diriku kepadaNya. Dan aku juga tahu siapa yang bakal disisiku sekiranya ia benar-benar terjadi. Dan aku juga yakin kasih-sayang dan kegembiraan yang aku berikan itu takkan pernah luntur dalam hati setiap insan tersayangku. Kerana aku memberi keranaNya dan bukanlah mengharap balasan mereka.

Dan kau? Apa hubungan kau dengan aku? Kau hanya melihat dan menghukum. Aku? Aku yang menanggungnya. Aku yang pilih jalan ini. Jadi izinkan aku buat kerja aku. Mungkin kau bukan di tempat aku, jadi kau boleh ketawakan aku di suatu sudut yang kau sendiri tak pasti di mana letaknya diri kau. Perit pedih yang aku tanggung mungkin bakal jadi senyuman kau. Tapi aku percaya setiap senyuman yang aku lemparkan kepada kau adalah perit pedih kau juga. Maafkan aku kalau kau tersinggung sebab aku bukanlah wali yang suci dari hina dan benci semua orang. Aku juga tak terlepas dalam kekhilafan. Kerana aku hanyalah sipolan, gadis biasa yang mempunyai hati yang tertampal.

Salam sayang,
Sipolan.
Gadis biasa yang hatinya tertampal.

1 comment:

intanurulfateha said...

hmmm bagus entry ni era!

Lazada Philippines