Wednesday, December 17

Tips Memilih Produk Kecantikan yang Selamat

Salam.

Pastinya kita sebagai perempuan amat menitikberatkan soal kecantikan bukan? Rasanya setiap wanita wajib ada sekurang-kurangnya pencuci muka. Tapi tahukah kita kalau tersilap pilih produk kecantikan boleh memudaratkan diri atau kulit kita? Hari ini saya nak berkongsi mengenai tips memilih produk kecantikan yang selamat.

Jika diperhatikan, kini terdapat banyak produk kecantikan kulit di pasaran yang boleh anda dapati dengan tawaran harga yang cukup berpatutan. Produk kecantikan Korea sering mendapat tempat di hati para wanita kerana rata-rata produk daripada Korea adalah berkualiti tinggi dan diperbuat dengan menggunakan teknologi yang maju. Berbanding produk kecantikan Thailand yang sering mendapat review negative daripada para pengguna. Oleh yang demikian, langkah pertama untuk memilih produk kecantikan yang selamat dan berkesan untuk kulit muka anda adalah seperti berikut :

1. Kenali kondisi kulit muka anda


Kenali terlebih dahulu kondisi kulit muka anda dan kenal pasti masalah yang anda hadapi. Adakah anda mempunyai masalah kulit berminyak? Atau mungkin jerawat? Ada beberapa jenis kulit yang biasa kita ketahui antaranya :

Kulit normal
Biasanya wanita yang mempunyai jenis kulit normal kurang mengalami masalah kerana jumlah minyak semula jadi atau sebum yang dihasilkan amat rendah dan sekata. Tekstur kulit juga lembut dan liang romanya kelihatan kecil. Kulit jenis ini juga mempunyai kandungan air yang cukup. Biasanya golongan wanita yang mempunyai kulit normal ini amat mudah untuk memilih mana-mana jenis produk kecantikan.

Kulit kering
Antara penyebab terjadinya kulit kering ialah kerana kurang kandungan air jadi ia juga menyebabkan muka kita kelihatan tidak berkilat. Selalunya, mereka yang berkulit kering ini kelihatan kusam dan mempunyai liang roma yang kecil atau langsung tidak kelihatan. Kadang kala apabila menggunakan produk yang terlalu banyak kandungan kimia, boleh menyebabkan penggelupasan kulit yang ketara. Sudah tentu ia lebih memalukan bukan?

Antara cara untuk menangani masalah ini ialah menggunakan pencuci muka yang berbuih. Cuci dengan air sejuk. Pastikan anda menggunakan krim pelembap yang mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Banyakkan minum air masak dan elakkan membeli produk kecantikan yang mempunyai kandungan kimia yang banyak. 

Tips : Beli produk kecantikan yang menggunakan sumber alam semulajadi.

Kulit berminyak
Disebabkan cuaca kita di Malaysia ini agak panas jadi ia merupakan masalah yang biasa baik wanita mahupun lelaki. Selalu terdedah dengan panas atau menggunakan pelembab yang tidak sesuai boleh menyebabkan kulit berminyak. Penggunaan tisu serap minyak yang tidak bersesuaian juga adalah langkah yang salah dalam penjagaan kulit jenis berminyak.

Apabila muka berminyak, liang romanya juga besar. Sebab itulah mudah untuk mendapat jerawat. Golongan jenis kulit ini memerlukan penjagaan khas. Pastikan apabila selesai aktiviti luar wajah dibersihkan dengan pencuci muka yang mempunyai PH yang rendah. Selepas membersihkan wajah dengan pencuci muka, gunakan krim pelembap yang berasaskan kandungan air yang rendah.

Kulit kombinasi
Ia menggabungkan ketiga-tiga jenis kulit muka iaitu normal, kering dan berminyak. Secara amnya, kulit ini kelihatan normal tetapi mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang terasa kering dan berminyak.

Kulit kombinasi memang cukup sukar dijaga. Pilihlah produk kecantikan khusus kulit kombinasi dan seminggu sekali gunakan topeng wajah untuk menyerap minyak terutama di zon T (dahi, hidung dan dagu).

2. Guna produk kecantikan yang berkualiti


Seterusnya adalah dengan menggunakan produk kecantikan yang berkualiti dan bersesuaian dengan kondisi kulit muka anda. Untuk kulit yang berminyak, anda harus menggunakan produk yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah kulit berminyak. Begitu juga sebaliknya untuk masalah-masalah kulit lain. Pastikan membaca beberapa review melalui blog atau testimoni rakan-rakan sebelum membeli produk kecantikan. Elakkan memilih produk kecantikan yang menawarkan kesan baik dalam masa yang singkat.

3. Lihat label dengan info produk yang lengkap


Sebelum kita memilih sesuatu produk, pastikan kita tahu apa isi kandungan dalam produk tersebut, bila tarikh tamat luput, dos dan cara makan produk tersebut. Jika mahu dibandingkan terlalu banyak produk kecantikan yang dikeluarkan oleh peniaga luar mahupun tempatan. Terdapat juga kes penipuan di mana peniaga mengambil kesempatan menjual produk kecantikan yang palsu dan berbahaya. Jadi sila pastikannya sebelum membeli.

4. Lihat hasil selepas penggunaan


Ukur tahap keberkesanan produk tersebut selepas beberapa tempoh penggunaan. Mungkin untuk 3 minggu? Jika produk yang anda gunakan memberikan hasil yang positive, anda boleh meneruskan penggunaan. Tetapi, jika produk tersebut tidak mendatangkan sebarang perubahan malah mencacatkan lagi penampilan anda, hentikan penggunaan produk tersebut.

5. Harga Berpatutan

Harga juga memainkan peranan penting dalam memilih sesuatu produk kesihatan dan kecantikan. Janganlah sebab nak cantik, kita menghabiskan beribu-ribu ringgit tapi tidak memberikan kesan, malah lebih memburukkan lagi jika ia tidak selamat untuk badan kita. Kita kena sama-sama ingat, harga produk mahal tidak semestinya bagus untuk kita.

No comments:

Lazada Philippines